Wanita Terlanjur, Rasa Diri Jijik
& Diterimakah Taubat?
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
SOALAN
Salam, saya pernah terlanjur dengan boyfriend tapi itu bukan atas kerelaan saya. Saya dipaksa melakukannya. Dalam hati, tidak sedikit pun terlintas perasaan itu. Saya menolak tapi dia tetap memaksa. Sekarang saya ingin tahu adakah Allah akan menerima taubat saya setelah saya terlanjur? Saya berasa sangat sedih, jijik dengan diri dan hidup saya sudah tidak tenteram. Hati saya selalu tidak tenang. Saya merasakan Allah tidak akan menerima taubat saya. Tolonglah bantu saya.
- Soalan melalui ruangan komen di artikel lepas-
JAWAPAN
Pertamanya, saya ucapkan syabas kerana saudari masih mempunyai iman dan punyai ilmu tentang haramnya tindakan itu, kerana itulah timbul perasaan takut, kesal, tidak tenang dan takut. Sekiranya perasaan itu makin menghilang, ia tanda iman juga semakin meluntur dengan sangat teruknya.
Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Apa yang perlu dilakukan kini adalah meneruskan taubat. Taubat sebenar yang akan diterima Allah adalah dimulai dengan rasa penyesalan amat sangat dan diturut dengan beberapa amalan di bawah. Antara package dalam taubat di dalam Islam adalah seperti berikut :-
1) Bertaubat dengan sungguh-sungguh.
Kesal dan menangisi dosa yang dilakuakn dengan azam untuk TIDAK mengulanginya.
2) Tidak berjumpa teman lelaki atau 'dating' berdua-duaan dengannya.
Jika jumpa sekalipun, perlu diajak ahli kelurga yang tegas dalam soal hukum Islam bersama ( Jika tidak tegas, ia sama seperti tiada). Jika tiada abang, hanya berjumpa di rumah saudari dengan kehadiran ibu bapa (yang juga dari kalangan yang prihatin dan mesti mereka sentiasa bersama). Jika tidak mampu juga,Maaf !. Saudari tiada pilihan lain kecuali mesti mencari jalan untuk mampu melakukannya.
Jika tidak, saudari pasti akan terus mengulangi zina pada satu hari nanti. Selepas itu, segala pintu iman akan semakin tertutup rapat buat saudari, peluang menjadi terus terhina dan melahirkan zuriat yang tidak soleh juga semakin membesar sebagaimana Allah memberi amaran. "Di dalam hati mereka dibiarkan berpenyakit lalu Allah menambah penyakit mereka" ( Surah Al-Baqarah)
Syahwat seksual dan zina adalah sama seperti dadah dan kegilaan harta material, ia boleh membawa seseorang menjadi mabuk dan lupa segala-galanya. Sebagaimana hadis yang telah saya bawakan dahulu iaitu :-
لو كان لابن آدَمَ وَادِيَانِ من مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا ولا يَمْلَأُ جَوْفَ بن آدَمَ إلا التُّرَابُ
Ertinya : Sekiranya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari , 5/2364 )
Demikian juga perihalnya dengan nafsu syahwat seksual. Ia merupakan satu penyakit dalaman yang serius serta amat sukar dirawati. Ia sama sekali tidak boleh dipuaskan jika tidak dikawal dengan iman.

