Kebanyakan manusia dapat meninggalkan dosa dan maksiat bila berada di khalayak ramai. Malah mereka giat menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran. Itu Merupakan akhlak yang terpuji. Namun belum pasti ketika bersendirian dia mampu mengawal hawa nafsunya dari melakukan dosa. Semuanya bergantung kepada kekuatan iman.
Inilah sebenarnya ujian yang sebenar. Dapat meninggalkan dosa di depan orang ramai adalah tidak menghairankan. Sifat malu dan takut maruah diri tercemar telah menghalang dirinya dari melakukan dosa. Namun bila bersendirian dan ketika tiada sesiapa yang memandangnya belum pasti dia mampu mencegah dirinya dari melakukan dosa.
Allah telah melarang kita dari melakukan sebarang dosa baik secara terbuka mahupun ketika bersendirian. Terdapat ancaman akibat melakukan dosa secara bersendirian iaitu sabda Nabi saw :
“Sesungguh aku mengetahui satu kaum dari umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa banyak kebaikan seperti bukit Tihamah kemudian Allah menjadikannya seperti debu yang berterbangan.” Maka sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, berikanlah ciri mereka kepada kami agar kami tidak termasuk golongan mereka dalam keadaan tidak sedar.”
Maka beliau menjawab, “Adapun, mereka itu adalah saudara-saudara kamu, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang apabila bersendirian dengan apa yang diharamkan Allah maka mereka pun terjerumus ke dalamnya.”( Ibn majah, disahihkan oleh al-Albaniy)
Kita pasti berdepan dengan situasi seperti ini. Hanya kekuatan iman sahaja yang dapat seseorang itu mampu mencegah dirinya dari melakukan dosa. Allah sengaja memudahkan seseorang itu berdepan dengan perkara yang diharamkan untuk menguji sejauh mana kemantapan imannya.
Seseorang yang mampu meninggalkan dosa ketika bersendirian, ketahuilah bahawa dia seorang yang hebat dan mempunyai keimanan yang mantap.
Firman Allah :
“Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Rabbnya Yang tidak tampak oleh mereka, mereka akan memperoleh keampunan dan pahala yang besar”. ( Surah al-Mulk, ayat 12)
Namun demikian seseorang yang melakukan dosa secara bersembunyi jauh lebih baik dari seseorang yang menzahirkan pendurhakaan kepada Allah SWT. lebih buruk lagi dia berbangga-bangga dengannya. Mereka ini tidak berpeluang untuk mendapat keampunan Allah. Sabda Nabi saw :
“Semua umatku akan dimaafkan kecuali orang yang melakukan dosa secara terang-terangan. Termasuk perbuatan dosa yang terang-terangan ialah apabila seorang itu pada malam hari melakukan perbuatan (dosa) lalu menemui waktu pagi dalam keadaan dosanya telah ditutupi oleh Rabbnya, namun setelah itu dia mengatakan, ‘Wahai fulan, tadi malam saya melakukan ini dan itu’. Padahal sepanjang malam itu Rabbnya telah menutupi aibnya sehingga dia pun dapat melalui malamnya dengan dosa yang telah ditutupi oleh Rabbnya itu.Tetapi pagi harinya dia menyingkap tabir yang Allah berikan untuk menutupi aibnya itu.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)
Sebagai insan yang lemah kita amat sukar untuk kita menghindari dosa secara total. Itu adalah realiti dan jelaskan oleh Nabi saw dalam sebuah hadis.
"Setiap anak cucu Adam melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang yang melakukan dosa ialah mereka yang bertaubat." ( Ibn Majah)
Untuk menutup kelemahan ini Allah SWT mengajar kita agar bertaubat setiap masa. Firman Allah :
"Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)