Berkapel & Displin Dalam Bertunang
Soalan
Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini
Jawapan
Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.
Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-
1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :
Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).
Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).
Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)
2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.
Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :
Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).
Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).
Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)
3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :
Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).
Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)
4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)
5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.
6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.
7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-
- Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
- Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
- Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
- Awas fitnah masyarakat sekeliling.
- Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
- Haram melihat kepada aurat masing-masing.
- Awas daripada bertukar gambar.
- Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.
Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin.
Sekian, Wallahu'alam.
Ust Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
15 Disember 2006
'Ringan-ringan' Bakal Lahirkan Keluarga & Zuriat Zina
Soalan
Assalamualaikum ustaz,saya baru saja membaca metro hari ini 29/07/2007.saya sudah bertunang pada hujung tahun lepas dan akan berkahwin pada bulan november tahun ini,sepanjang kami bercinta dan bertunang kami telah banyak kali terlanjur, saya nak lupakan apa yang kami telah lakukan dan saya ingin bertaubat. Saya tak nak selepas berkahwin nanti hubungan kami dilanda masalah seperti tertulis dalam metro hari ini,sebelum ini saya sudah cuba untuk meninggalkan apa yang kami pernah lakukan, saya harap ustaz dapat bantu saya,dan saya harap ustaz dapat sertakan niat solat taubat dan waktu yang wajib saya lakukan.
Soalan melalui email
xxxxx86@yahoo.com
Jawapan :
Benar, tanpa taubat yang sungguh-sungguh, pastinya benih-benih dosa dan kejahatan yang diasaskan seperti 'ringan-ringan dan zina' semasa bercinta akan merebak selepas kahwin dan seterusnya kepada zuriatnya. Nauzubillah minzalik (minta di jauhkan Allah). Sila baca artikel saya di METRO ahad lepas di sini.
Ia berdalilkan firman Allah SWT :
فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللّهُ مَرَضاً
Ertinya : Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya " ( Al-Baqarah : 10 )
Maka sesiapa yang membiarkan ikatan pertunangan dan era mudanya dicemarinya dengan 'ringan-ringan dan zina', ia membenihkan penyakit yang serius dalam hati. Tanpa taubat yang sebenar, Allah SWT akan membiakkan lagi peluang dan ruangnya untuk menjadi orang yang celaka, dan mendapat keluarga yang bakal runtuh, kecoh dan hancur. Kelaurga yang amat berpotensi melahirkan suami yang bermain kayu tiga, isteri bercinta dan zina dengan rakan sekerja, anak yang menjadi penzina muda di sekolah dan lain-lain bencana keluarga yang pastinya diakhiri dengan penceraian dan penderitaan anak-anak. Matinya si ibu bapa ini kelak, mungkin diiringi dengan celaan atau sorakan oleh anak-anak peninggalannya.
Sudah tentu sebelum ia berlaku wahai umat Islam yang dikasihi sekalian, ubat dan 'antidot' adalah taubat dari kedua-dua belah pihak dengan taubat nasuha yang penuh kesungguhan dan keinsafan. Justeru, bagi mencapai taubat yang sebenar ini. Ia adalah seperti berikut :-
1) Bertaubat yang timbul dari ilmu dan kesedaran Islam dan bukan kerana desakan luaran. Jika belum ketemui ilmu itu, cari dan bacalah sedalamnya agar taubat ini lahir dari ilmu dan iman bukannya yang lain.
Imam Al Bukhari menyebut tentang keperluan sesuatu amal dan ibadah termasuklah taubat yang diakari oleh ilmu di dalam shahihnya hingga dibuat satu bab khas bertajuk : bab: "Ilmu sebelum beramal". Beliau menyebut firman Allah SWT berikut sebagai dalil keperluan ini:
فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ
Ertinya : Maka ketahuilah, bahwa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Hak) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu (Muhammad: 19)
Jelas disebut di dalam ayat berkenaan didahulukan perintah untuk berilmu dari perintah untuk beristighfar dan taubat.
Al-Qusyairi berkata dalam kitabnya "Risalah Qusyairiah": taubat yang pertama adalah: bangunnya hati dari kelalaian, serta sang hamba melihat keadaan yang buruk akibat dosa yang ia lakukan. Dan itu akan mendorongnya untuk mengikuti dorongan hati nuraninya agar tidak melanggar perintah Allah SWT. Kerana dalam khabar disebutkan: "penasihat dari Allah SWT terdapat dalam hati setiap orang muslim". (Riwayatkan Ahmad dari An Nuwas bin Sam'an). Dan dalam hadith:
Ertinya : "Sesungguhnya di dalam tubuh terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, dan jika ia rusak maka rusaklah seluruh tubuh, ketahuilah itulah hati". (Hadits muttafaq alaih dari Nu'man bin Basyir).
Jika hatinya merenungkan keburukan perbuatannya, serta ia menyedari dosa-dosa yang ia perbuat itu, nescaya dalam hati akan terdetik keinginan untuk bertaubat, dan menjauhkan diri dari melakukan perbuatan maksiat itu. Kemudian Allah SWT akan membantunya dengan menguatkan tekadnya itu, melakukan tindakan pemulihan atas dosa-dosanya, serta melakukan perbuatan-perbuatan yang diperlukan dalam taubat. (Risalah Qusyairiah dengan tahqiq Dr. Abdul Halim Mahmud, dan Dr. Mahmud bin Syarif, (1/ 254, 255)
2) Bersangka baik bahawa Allah akan mengampunkan dosa yang telah terlanjur itu. Firman Allah :-
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Ertinya : Katakanlah: ""Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Az-Zumar: 53)
3) Segera menangisi dosa zina yang telah anda lakukan dengan benar-benar keinsafan. Anda perlu menitiskan air mata untuk ini, air mata insaf dan bukan dibuat-buat.
4) Berazam kukuh di dalam hati agar tidak lagi ingin kembali kepada perbuatan haram itu. Bukti azam kukuh itu adalah dengan membatalkan semua 'dating' dengan tunang itu dan tidak lagi berdua-duaan sehinggalah berkahwin.
Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut : Yang terpenting dalam masalah azam dan tekad ini adalah agar azam itu kuat dan betul-betul, saat bertaubat. Dengan tanpa disertai oleh keraguan atau kerinduan untuk kembali melakukan kemaksiatan, atau juga berpikir untuk mengerjakannya kembali. Taubat itu tidak batal jika suatu saat tekadnya itu sedikit melemah kemudian ia terlena oleh dirinya, tertipu oleh syaitan sehingga ia terlanjur, dan kembali melakukan kemaksiatan. (At-Taubatu Ilallah, Al-Qaradawi )
Imam Ibnu Katsir berkata: "Sedangkan jika ia bertekad untuk bertaubat dan memegang teguh tekadnya, maka itu akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya pada masa lalu. Seperti terdapat dalam hadits sahih "Islam menghapuskan apa yang sebelumnya, dan taubat menghapuskan dosa yang sebelumnya".
5) Wajib menjauhkan diri dari mendekati apa jua situasi yang boleh membawanya ke arah lembah zina tadi. Jangan berchat dan ber'sms' akan perkara yang boleh membangkitkan nafsu anda dan tunang. Hentikan dan putuskan talian jika perasaan itu mula mendatang.
6) Berterusan tawbat (selagi belum rasa hilang bersalah). Firman Allah SWT ertinya :
إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوَءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُوْلَـئِكَ يَتُوبُ اللّهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللّهُ عَلِيماً حَكِيماً
Ertinya : "Sesungguhnya tawbat di sisi Allah hanyalah tawbat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilannya yang kemudian mereka bertawabat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah Tawbatnya ( An-Nisa : 17)
7) Mempergandakan amal soleh, ia berdasarkan firman Allah :
إِلاَّ الَّذِينَ تَابُواْ وَأَصْلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَـئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيم
Ertinya : " Kecuali orang-orang bertawbat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan Allah maha pengampun lagi penyayang" ( Al-Furqaan : 70 ).
Justeru, banyakkan bersedeqah, mengajar orang lain, kenalan dan lain-lain agar menjauhi dosa zina dan menyedarkan sesiapa jua yang mampu tentang dosanya. Berbekalkan pahala kebaikan ini diharap ianya dapat menutup dan memadamkan dosa zina tadi.
Tanda Sempurna
Tanda kesempurnaan taubat adalah anda merasa bencinya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu sebagaimana takutnya dilemparkan ke neraka atau lebih mudah untuk gambarannya adalah sebagaimana anda takut dan benci untuk mati 'accident' dengan kepala terburai dan pecah isi perut dalam keadaan zina.
Tanda kesempurnaan taubat juga adalah anda akan berubah dalam majoriti sifat dan rutin seharian anda kepada yang lebih baik. Ringan melakukan amal soleh dan suka bergaul dengan rakan-rakan dan solehah sahaja.
Mengulangi Selepas Taubat ?
Imam Ibnu Kathir berkata: "apakah syarat taubat nasuha itu orang harus tetap bersikap seperti itu hingga ia mati, seperti diungkapkan dalam hadits dan atsar: "kemudian ia tidak kembali melakukannya selama-lamanya", ataukah cukup bertekad untuk tidak mengulangi lagi, untuk menghapus dosa yang telah lalu, sehingga ketika ia kembali melakukan dosa setelah itu, maka ia tidak merusak taubatnya dan menghidupkan kembali dosa yang telah terhapuskan, dengan melihat generalitas pengertian hadits:
"Taubat menghapus dosa yang sebelumnya" [Tafsir Ibnu Katsir: 4/ 392].
Imam Ibnu Qayyim membicarakan hal ini dalam kitabnya "Madarij Salikin" dan menyebut dua pendapat:
Pertama : Mengharuskan agar orang itu tidak mengulangi kembali dosanya sama sekali. Menurut pendapat ini, ketika ia kembali melakukan dosa, maka jelaslah taubatnya yang dahulu itu batal dan tidak sah.
Kedua : Ia pendangan majoriti ulama , hal itu tidak menjadi syarat. Kesahihan taubat hanya ditentukan oleh tindakannya meninggalkan dosa itu, dan bertaubat darinya, serta bertekad dengan kuat untuk tidak mengulanginya lagi. Dan jika ia mengulanginya lagi padahal ia dahulu telah bertekad untuk tidak mengulang dosanya itu, maka saat itu ia seperti orang yang melakukan kemaksiatan dari permulaan sekali, sehingga taubatnya yang lalu tidak batal.
Kumpulan ini berpendapat, tidak disyaratkan dalam kesahihan taubat itu ia tidak pernah berdosa hingga mati. Namun jika ia telah menyesal dan meninggalkan dosa serta bertekad untuk meninggalkan sama sekali perbuatannya itu, niscaya dosanya segera terhapuskan. Dan jika ia kembali melakukannya, ia memulai dari baru catatan dosanya itu.
Namun, jangan tersilap memahami pandangan majoriti ini sebagai untuk menyematkan sikit azam untuk melakukannya lagi. Kerana jika terdapat azam dan niat jahat itu di celah hati tatkala taubat, taubat itu tidak sah menurut seluruh ulama dari kedua-dua kumpulan.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
1 Ogos 2007