Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar), berkata sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung mutasi virus itu daripada mana-mana negara rantau ini mahupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut beliau, sama ada laporan itu benar atau tidak, KKM sejak awal sudah pun mengambil langkah memantau sekiranya wujud perubahan H5N1 di negara ini dari semasa ke semasa.
“Seperti mana kita sedia maklum, H5N1 memang memberi kesan negatif yang terlalu tinggi malah peluang untuk hidup amat tipis jika dijangkiti.
“Kita akan menyiasat perkara ini secara mendalam dan sekiranya didapati wujud, tindakan segera akan diambil bagi memastikan ia tidak menular lebih teruk,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kuih raya kepada pegawai dan kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini sempena Aidilfitri, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Perubatan 1 HKL, Dr Lailanor Ibrahim dan Ketua Jabatan Kecemasan HKL, Datuk Dr Abu Hassan Assaari Abdullah.
Kelmarin, FAO melaporkan virus itu sudah muncul di Vietnam dan China, baru-baru ini.
Sementara itu, Liow berkata, KKM akan membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 juta bagi meningkatkan kelengkapan dan peralatan di HKL dalam usaha menaik taraf hospital penuh sejarah itu.
“KKM yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan meluluskan permohonan ini kerana beliau sendiri sudah sedia maklum keadaan di HKL yang perlu dinaik taraf,” katanya.
Sumber : http://www.hmetro.com.my