Berasal dari Kampung Pantos, Kuala Lipis, Arif mula tertarik dengan Islam sejak di peringkat sekolah rendah lagi, malah ia berputik ketika memasuki tadika di kampungnya.
“Saya sering bersama rakan beragama Islam membaca al-Quran, mengikut mereka belajar bersolat dan selepas memeluk Islam, baru saya tahu betapa indahnya Islam itu.
“Ketika di sekolah rendah pula, saya mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam dan saya gembira dapat melakukannya kerana tiada halangan daripada keluarga mahupun guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai, Kuala Lipis,” katanya.
Arif ditemui ketika bertadarus al-Quran sempena Ramadan bersama rakan dan guru di Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (Petama) di Bukit Sekilau, di sini.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu bersyukur kerana keputusannya untuk memeluk Islam pada pada usia 13 tahun mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapanya.
Malah, seorang kakak dan adik perempuannya juga sudah memeluk Islam tanpa sebarang halangan daripada keluarga.
“Saya menawarkan diri untuk menyertai program di Petama sejak lapan bulan lalu semata-mata untuk mendalami Islam. Saya ingin sekali memahami apa yang tersirat dan tersurat di sebalik perkataan Islam itu sendiri.
“Setiap ruang di minda saya di penuhi dengan semangat ingin tahu mengenai Islam dan apa yang mendorong orang bulan Islam untuk memeluk Islam, di mana cahaya kebenaran yang sebenarnya,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangaan (SMK) Sungai Koyan, Kuala Lipis.
Bagi memenuhi sifat ingin tahu itulah, Arif tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berdaftar sebagai pelajar di PETAMA dan mendapati pusat itu mampu memberikan jawapan kepada setiap persoalannya.
“Alhamdulillah, saya kini sudah mempunyai ‘pusat rujukan’ sendiri dan tidak terlalu mengharap simpati orang lain untuk memantapkan akidah dan mendalami Islam,” katanya.
“Sempena kedatangan bulan puasa dan Hari Raya yang bakal disambut tidak lama lagi, saya bersama pelajar lain bertadarus setiap pagi dan mempelajari pelbagai perkara berkaitan Fardu Kifayah untuk memantapkan lagi hati nurani kami dalam usaha mencari kebahagian dan ketenangan dalam Islam,” katanya.
Arif berterima kasih kepada Petama yang memberi peluang kepada remaja Orang Asli mengikuti pengajian mengenai Islam dan tidak menyisihkan mereka daripada dunia luar dengan mengadakan pelbagai program ilmiah bersama penduduk setempat.
Sumber : http://www.hmetro.com.my