Malang
tidak berbau. Walaupun jarak perjalanan yang perlu ditempuhi oleh
sebahagian petugas media dalam misi bantuan di Somalia sebelum diserang
hendap semalam hanya tiga minit, namun tempoh itu tetap merupakan antara
yang paling panjang yang pernah dilalui oleh jurukamera TV3, Aji
Saregar Mazlan.
Ini kerana dalam perjalanan tiga minit itulah mereka ditembak sekurang-kurangnya dua kali dan salah satu daripadanya mengorbankan rakannya, jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, yang juga ketua pasukan media yang bertugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.
Menurut Aji Saregar, ketika kejadian, beliau dan Noramfaizul berada dalam kenderaan terakhir daripada tiga kenderaan yang bergerak dari hotel penginapan petugas media elektronik menuju ke hotel yang menempatkan petugas media cetak dan penulis blog.
“Sebelum memasuki pekarangan hotel itu dari hotel kami, saya terdengar bunyi tembakan dan sedar saya sendiri terkena tembakan di bahagian lengan kanan.
“Dalam
kesakitan, saya memberitahu Noramfaizul bahawa kami diserang tetapi
arwah tiba-tiba terkulai di bahu kanan saya. Saya dapat melihat bahu
kanan arwah berlubang dan dia berada dalam kesakitan yang amat sangat,”
katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Aji Saregar menceritakan detik-detik cemas itu sebelum menaiki pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Mogadishu untuk pulang ke tanah air bersama jenazah Allahyarham Noramfaizul serta kesemua petugas media dan sukarelawan misi berkenaan.
Dalam
kejadian kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan itu (10.30 malam
tadi waktu Malaysia), konvoi tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan
tentera kerajaan Somalia ditembak oleh penyerang tidak dikenali
kira-kira 200 meter sebelum memasuki hotel berkenaan.
Tembakan yang terkena bahu kanan Noramfaizul itu dilaporkan menembusi paru-parunya dan menyebabkan Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di hospital berdekatan kira-kira pukul 6.07 petang waktu tempatan sementara Aji Saregar hanya cedera di lengan.
……………………………………………………………………………………………………………………
Bagi
aku, orang Somalia ni , bukan semua tapi kebanyakannya memang tak
kenang budi. Dah berapa puluh tahun dah Malaysia hantar misi pengaman
untuk pastikan negara Somalia tu sedikit aman dan kebuluran dikurangkan.
Negara negara lain banyak yang ambil sikap berdiam diri dengan masalah
kebuluran antara yang terburuk di Somalia sekarang ni. But then , bila
nak ditolong, jadi macam ni pulak. Persoalannya, MASIH RASIONALKAH
Misi Pengaman ni kalau objektif utamanya adalah untuk menyelamatkan
nyawa tapi dalam masa yang sama nyawa sendiri dipertaruhkan.
Seorang anonymous ada comment dalam entry aku :
untuk rekod pada tahun 1993 ketika Malaysia menghantar pasukan tentera (RAMD Mekanis dan Rejimen Gerak Khas) untuk misi pengaman di sana, 3 orang anggota tentera kita terbunuh di mana salah seorangnya terbunuh ketika operasi menyelamat US rangers yang dikepung oleh militia Fara Aidid. Kemudian jika tak silap 2 tahun lepas, beberapa orang kelasi rakyat Malaysia telah diculik di perairan Somalia. Sekarang wartawan kita pula terbunuh da seorang cedera. Somalia negara paling tak selamat.
Sumber : http://hazrilhafiz.blogspot.com/2011/09/situasi-sebenar-yang-berlaku-semasa.html
Kes Jurukamera ditembak mati di Somalia: Perkongsian kisah sedih wartawan Bernama TV
”Saya masih tidak percaya kejadian yang menimpa kami, hakikat jurukamera saya, Noramfaizul Mohd Nor, maut akibat terkena tembakan peluru sesat pada petang semalam, masih belum dapat saya terima,” menurut wartawan BERNAMA TV, Khairulanuar Yahaya.
Beliau dan Noramfaizul, 39 adalah antara 54 anggota Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia yang berlepas pada 28 Ogos lalu dan dijadual tiba di tanah air esok.
Kejadian tembakan itu berlaku ketika krew BERNAMA TV, TV3, Astro Awani dan RTM bergerak dari pusat operasi ke asrama tempat mereka tinggal kira-kira satu kilometer, selepas membuat liputan pemberian bantuan kepada mangsa kebuluran di sekitar Mogadishu.
Saya duduk di bahagian paling depan di sebelah pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, manakala Noramfaizul duduk di bahagian paling belakang di sebelah kanan bersebelahan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan yang turut cedera.
Kejadian berlaku dengan sekelip mata ketika kenderaan kami membelok ke kiri untuk masuk ke persimpangan asrama.
Saya mendengar dua das tembakan, diikuti kenderaan perisai pasukan pengaman Kesatuan Afrika melepasi kami.
Beberapa detik kemudian, saya mendengar rakan media menjerit nama jurukamera saya yang tercedera.
Keadaan menjadi begitu kelam-kabut dan saya melihat Noramfaizul yang rebah dibawa keluar dari kenderaan serta diberi rawatan di asrama tempat kami tinggal selama lima hari di Mogadishu.
Noramfaizul cedera di bahagian bahu sebelum diberitahu beliau turut cedera di bahagian paru-paru dan meninggal dunia kira-kira 6 petang waktu tempatan (kira-kira 1 tengah hari waktu Malaysia).
Jenazah dibawa pulang ke Malaysia hari ini menaiki pesawat Charlie C-130 pada jam 8.15 pagi waktu tempatan (kira-kira 3.15 pagi waktu Malaysia) bersama-sama anggota misi lain dan dijangka tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 9 pagi esok.
Selain Somalia, Allahyarham sebelum ini pernah mengikuti tiga misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia.
“Dua misi bersama-sama saya sebagai wartawan membuat liputan mangsa kekejaman Israel di Gaza dan liputan bantuan kemanusiaan membantu mangsa banjir di Pakistan, tahun lalu serta misi kemanusiaan ke New Zealand membantu mangsa bencana gempa bumi awal tahun lalu.
“Al-Fatihah buat saudaraku, Allahyarham Noramfaizul,” katanya. – BERNAMA
Sumber : http://www.mummynemo.com/2011/09/kes-jurukamera-ditembak-mati-di-somalia-perkongsian-kisah-sedih-wartawan-bernama-tv/
Suasana
hiba dalam penerbangan jenazah Noramfaizul Mohd Nor ke
Malaysia[perkongsian rakan setugas]
“PENERBANGAN lebih 20 jam lancar tanpa masalah, namun suasana di dalamnya begitu hening, sepi dengan semua penumpang termasuk saya seakan-akan lesu tak bermaya.
Ia penerbangan bersejarah kerana menjadi perjalanan terakhir buat rakan setugas saya, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BernamaTV yang maut akibat terkena tembakan curi ketika membuat liputan misi bantuan kemanusiaan di Somalia.
Suasana dalam pesawat pengangkut TUDM itu tidak semeriah dan seceria ketika ia terbang bersama 50 sukarelawan dan petugas media ketika membawa bantuan makanan dan perubatan dari Pangkalan Udara TUDM Subang ke Mogadishu pada 28 Ogos lalu.
Saya tidak menaiki pesawat berkenaan ketika itu kerana bertolak lebih awal dengan pesawat komersial, namun diberitahu rakan setugas lain suasana ketika itu berbeza dengan keadaan dalam pesawat ketika membawa jenazah Allahyarham Noramfaizul pulang ke tanah air, semalam.
Arwah sering mengikuti pelbagai misi bantuan di luar negara termasuk di Pakistan, New Zealand, Palestin dan beberapa negara lagi terutama misi anjuran Kelab Putera 1Malaysia.
Sepanjang perjalanan yang terpaksa transit di dua negara iaitu di Seychelles dan Maldives untuk mengisi bahan bakar, semua 54 anggota misi berdiam diri kerana bersedih dengan pemergian arwah yang juga ketua media untuk misi terakhirnya itu.
Penerbangan pulang terasa terlalu lama dan saya berterusan dihantui kebimbangan biar pun kami bakal menjejakkan kaki di tanah air sebelum tengah hari semalam.
Keranda yang memuatkan jenazah arwah ditempatkan di bahagian belakang pesawat dan saya duduk di bangku hanya beberapa meter daripadanya, sekali-sekala sempat menoleh ke arah keranda berbalut Jalur Gemilang itu dan pada masa sama melihat beberapa rakan membaca surah Yasin. Sebelum itu, kumpulan kami keluar dari hotel penginapan di Mogadishu seawal jam 7 pagi kelmarin dengan diiringi ratusan anggota pasukan keselamatan kerajaan Somalia bagi menjamin kami semua selamat tiba di Lapangan Terbang Aden Abdulle, untuk menaiki Hercules C-130 yang sedia menunggu.
Tepat jam 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia), saya bersama petugas media dan anggota misi kemanusiaan lain berlepas ke Seychelles dan sepanjang tiga jam penerbangan, kelihatan semua yang berada dalam pesawat berdiam diri serta masih berada dalam keadaan terkejut, takut serta bersedih dengan pemergian arwah Noramfaizul.
Mengenangkan arwah sentiasa riang sepanjang lima hari membuat liputan di negara bergolak yang dilanda masalah kebuluran sejak tiba di Mogadishu 29 Ogos lalu, saya seakan-akan tidak percaya dengan apa yang berlaku, namun menganggap ia ketentuan Ilahi dan berdoa supaya roh arwah ditempatkan di kalangan kekasih Allah serta menganggap arwah wira kami di Mogadishu. Sebaik selamat mendarat di Pangkalan Udara TUDM Subang kira-kira jam 10 pagi semalam, keadaan menjadi semakin pilu apabila keluarga arwah termasuk dua anak kecilnya memasuki pesawat bagi melihat jenazahnya.
Lebih mengharukan kepulangan Allahyarham dan anggota misi bantuan kemanusiaan di Somalia disambut ribuan rakyat Malaysia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jenazah arwah kemudian diuruskan di surau pangkalan udara berkenaan sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Serdang Raya, Seri Kembangan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.
Saya bersama beberapa anggota misi lain menziarahi rumah arwah sebelum mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan dan berada di sana sehingga selepas upacara pengebumian yang dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan.
Kenangan singkat saya dengan arwah selama beberapa hari di Mogadishu akan diingati selama-lamanya kerana misi ini yang paling bahaya serta mencabar sehingga mengakibatkan beliau gugur ketika bertugas. Tragedi itu berlaku pada jam 5.40 petang Jumaat lalu (jam 10.40 malam waktu Malaysia) ketika arwah bersama sembilan lagi wakil media yang membuat liputan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Somalia yang kebuluran dalam perjalanan pulang ke hotel penginapannya di KM 4, bandar Mogadishu menaiki dua kenderaan pacuan empat roda selain sebuah kenderaan pasukan keselamatan.
Kenderaan dinaiki arwah terkena tembakan curi ketika berada kira-kira 200 meter dari hotel berkenaan. Tembakan berkenaan turut mengenai seorang lagi jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, 26, menyebabkan dia cedera di lengan kanan.
Kami yang mengikuti misi ini sentiasa akan mengingati Allahyarham Noramfaizul sebagai rakan setugas dan sahabat yang banyak membantu. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman, amin.”